Kita memulakan dakwah kita dengan kalimah syahadah, dengan itu kita memahami tuntutan ke atas kita untuk menyampaikan. Semakin lama, dakwah itu makin sebati dan mendarah daging. Kerana apabila kita bernama Muslim, kita mahu seluruh umat melihat kita dan mencontohi tingkah kebaikan kita. Kita mahu kebaikan ini diwarisi. Dan kita makin menyedari yang iman dan islam, dakwah dan tarbiyyah ini merupakan nikmat yang besar, tak ternilai walau digantikan dengan bumi dan seluruh isinya.
Tetapi kita baru sedari, Al-Quran itu belum menjadi teman karib kita. Dalam jiwa kita hanya ada beberapa baris ayat yang tersemat. Al-Quran itu belum lagi menjadi alunan terenak di cuping telinga kita, belum dapat menggantikan rancak nasyid kontemporari pilihan hati. Kemusykilan lebih cenderung kita 'google'kan dari menyelak helaian suci demi menggapai petunjuk dari Allah. Janji penaja untuk 'memberi' rezeki setiap bulan lebih kita yakini dari segala janji yang Allah tawarkan agar kita kembali. Dua puluh empat jam sehari nescaya terlalu limited untuk kita duduk sejam dua untuk tilawah dan mentadaburi isinya. Yang terngiang di telinga selalunya kata-kata semangat ungkapan kesayangan kita dari kalangan manusia berbanding pujukan kasih sayang dari Allah.
And you are calling yourself a daie.
Haish.


